Indeks keadaan pasaran buruh US (LMCI) naik 3.5 pada April berbanding pada bulan sebelum yang merekod kenaikan 3.6 dan ini adalah kajian semula bacaan yang begitu besar kerana asalnya data yang dikeluarkan naik hanya 0.4%.
Indeks ini telah merekod kenaikan 11 bulan berturut-turut dan juga terdapat dua bacaan tertinggi sejak tahun 2015 yang menunjukkan pengukuhan yang konsisten dalam pasaran buruh US.
Data non-farm payroll (NFP) yang dikeluarkan minggu lepas juga memberi impak yang signifikan kepada indeks LMCI di mana jumlah pekerjaan bertambah 211,000 dari 79,000 yang direkod sebelum itu.
Indeks ini juga dilonjakkan oleh pengurangan dalam kadar pengangguran kepada 4.4% dari 4.5%.
Data kali ini akan mengekalkan keyakinan kepada The Fed terhadap pasaran pekerjaan. Tumpuan bank pusat akan terus terarah kepada data pendapatan yang menjadi petunjuk kepada kenaikan inflasi. Dengan data positif ini, The Fed dijangka akan semakin yakin untuk menaikkan kadarnya pada mesyuarat Jun.
Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang pertumbuhan ekonominya banyak disumbangkan oleh perbelanjaan domestik. Bagi meningkatkan perbelanjaan domestik, pasaran buruhnya mestilah dalam keadaan optimum. Untuk melihat keadaan optimum dalam pasaran buruh, kadar pengangguran haruslah berada di bawah dan tidak melebihi 5%.