Arab Saudi telah memerintahkan rakyatnya untuk segera meninggalkan Lubnan dan dalam masa yang sama melarang mereka masuk ke negara tersebut. Langkah tersebut seterusnya diikuti oleh Kuwait beberapa jam kemudian.
Ketegangan antara Arab Saudi dan Lubnan semakin memuncak selepas Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri mengumumkan perletakan jawatannya pada Sabtu.
Dalam kenyataannya, beliau mengaku mengundurkan diri dengan alasan takut dibunuh kerana ayahnya juga dibunuh pada 2005 yang ketika itu Perdana Menteri (Rafik Hariri).
Namun, ramai pihak di Lubnan mendesak agar beliau pulang kerana yakin bahawa dia didesak oleh Arab Saudi untuk mengundurkan diri.
Sementara itu, ketua Gereja Katolik di Lubnan, Patriarch Beshara berkata akan pergi ke Arab Saudi minggu depan bagi bertemu dengan Hariri untuk cuba memulihkan krisis politik tersebut.
Ramai rakyat Lubnan yang bimbang dengan keselamatan negara mereka daripada konflik antara Arab Saudi yang didominasi oleh islam Sunni dengan seterunya Iran yang didominasi islam Syiah. Arab Saudi menuduh kelompok militan Lubnan yang disokong oleh Iran menembak peluru berpandu ke Arab Saudi dari Yaman.
Sehingga saat ini, belum ada kenyataan yang dikeluarkan oleh Hariri.
Selepas daripada tuduhan yang dikeluarkan oleh Putera Mahkota Mohammad Salman terhadap Iran dengan dakwaan melancarkan peluru berpandu, Iran membantah tuduhan tersebut yang mana adalah tidak benar.
Kesannya kepada harga minyak mentah dunia sudah pasti akan menolak harga lebih tinggi dengan potensi gangguan bekalan global daripada dua negara pengeluar minyak terbesar dunia iaitu Arab Saudi dan Iran.
Setakat ini, harga minyak mentah masih bergerak di sekitar paras tertinggi dua tahun yang lalu.