Pihak kerajaan bakal menggunakan mekanisma penentuan harga bahan api yang baru, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin.
Mekanisma terbaru ini adalah dengan menetapkan harga siling (harga maksimum) bahan api setiap minggu mulai bulan depan. Apabila dilaksanakan kelak, harga maksimum ini berkemungkinan akan diumumkan setiap hari Isnin dan Sabtu berbanding ketika ini yang diumumkan setiap bulan.
Memetik dari Bernama, beliau berkata, “Sebenarnya apa yang saya dan Menteri Kewangan Kedua (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) lakukan adalah untuk memastikan rakyat merasai sesuatu yang ditentukan oleh Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia.”
“Terpulang kepada syarikat minyak untuk bekerjasama dengan persatuan dan memastikan bahawa tidak ada sesiapa yang ketinggalan daripada konsep yang kita hendak tetapkan ini,” katanya.
Untuk pengetahuan pembaca, penetapan harga siling bahan api akan membolehkan stesen-stesen minyak bersaing dari segi harga, di mana mereka bebas menetapkan harga petrol dan diesel asalkan tidak melebihi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan.
Mengulas lanjut, “Bila kita letak harga siling, terpulanglah kepada stesen minyak sama ada nak menurunkan harga atau bagaimana cara dia nak kempen supaya orang datang ke stesen minyak mereka termasuk menawarkan inisiatif,” katanya.
Tindakan terbaru oleh kerajaan ini sememangnya akan menguntungkan pelanggan stesen minyak, kerana kita mempunyai pilihan kepada stesen minyak yang menawarkan harga lebih rendah selepas ini.
Di pihak pengusaha stesen minyak pula, mereka dijangka akan terbeban dengan persaingan harga dalam pasaran terbuka seperti ini. Sudah tentu kita akan menyaksikan ‘perang harga’ di antara mereka yang pada akhirnya merugikan mereka.
Penentuan harga siling ini bukanlah baru, malah negara-negala lain juga menggunakan mekanisme ini, contohnya Thailand. Pengusaha stesen minyak di negara tersebut dilaporkan telah banyak yang ‘gulung tikar’, disebabkan pasaran terbuka seperti ini, di mana stesen minyak bebas menetapkan harga untuk bersaing yang pada akhrinya merugikan pengusaha yang lain.