Harga rumah di Australia meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun pada bulan Mac kerana ledakan sektor perumahan di negara tersebut.
Nilai rumah secara purata bagi lapan ibu negeri dan wilayah Australia juga menunjukkan lonjakan sebanyak 12.9 peratus dalam tempoh 12 bulan sehingga Mac. Menurut data daripada CoreLogic Inc yang dikeluarkan pada Isnin, bacaan ini meningkat dalam kadar terpantas sejak Mei 2010.
Peningkatan secara besar-besaran ini didahului oleh bandar Sydney dengan nilai purata rumah yang meningkat sebanyak 18.9 peratus dalam tempoh 12 bulan lepas. Bagi 3 bulan pertama tahun ini, harga rumah disana telah meningkat hampir 5 peratus.
Bagi mengelakkan situasi ini daripada terus meruncing, pengawal selia perbankan di Australia telah memulakan sekatan pinjaman. Langkah ini dimulakan dengan menyekat pinjaman tanpa faedah yang selalunya menjadi rebutan individu yang ingin membuat pinjaman perumahan.
Selaras dengan pengumuman tersebut, Australian Prudential Regulation Authority berpendapat bahawa lonjakan hartanah yang semakin tinggi, peningkatan hutang isi rumah, pertumbuhan gaji yang perlahan serta kadar faedah yang rendah mewujudkan peningkatan risiko persekitaran.
Pegawai-pegawai lain di Australia turut menyuarakan kebimbangan yang sama mengenai pasaran perumahan dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Timbalan Gabenor Bank Pusat, Michelle Bullock antara lain juga menyuarakan bahawa beliau sedia untuk menambah langkah rangsangan sekiranya diperlukan.
Ledakan harga sektor hartanah ini sebenarnya dipandu oleh kadar faedah yang diletakkan pada rekod yang rendah. Selain itu, pertumbuhan penduduk yang pesat dan pertambahan permintaan oleh pelabur juga merupakan penyumbang kepada isu ini. Kepadatan penduduk di Sydney juga melonjak kepada 5 juta pada akhir bulan Jun setelah menambah kira-kira 1 juta individu dalam tempoh 16 tahun lalu.
Pasca Brexit : Ketua-Ketua Syarikat Kewangan British Masih Ambil Pendekatan Berhati-Hati