Matawang GBP membuat kenaikan yang mendadak pada Isnin selepas laporan bahawa Britain dan Kesatuan Eropah semakin hampir dengan perjanjian Brexit.
Pasangan matawang GBP/USD melonjak lebih dari 100 pip sejak pukul 7 petang pada Isnin dari paras 1.3426. Berita tersebut dilaporkan oleh BBC di mana ahli parlimen Eropah Philip Lambert berkata draf rundingan hari ini termasuk permintaan UK terhadap sempadan Ireland.
Penting dinyatakan di sini bahawa laporan tersebut belum lagi disahkan. Walaubagaimanapun, berita terbaru ini menunjukkan isu sempadan Ireland telah selesai dan memberi lampu hijau kepada EU-UK untuk meneruskan rundingan tentang hubungan di masa hadapan. Selepas ini rundingan antara Perdana Menteri Theresa May dan Juncker yang dijangka bermula tengah hari di Eropah akan menjadi peristiwa berisiko kepada matawang GBP pada Isnin.
Berita tentang perkembangan positif rundingan Brexit lewat november lalu telah melonjakkan GBP sehingga menjadikan ia matawang paling kuat pada November. Namun, lebih banyak yang diperlukan dari segi rundingan untuk membawa Sterling ke paras yang lebih tinggi.
Menurut laporan, Donald Tusk juga telah membatalkan lawatannya ke Timur Tengah minggu ini disebabkan tempoh kritikal dalam rundingan Brexit di mana perlunya draf baru rundingan Brexit fasa kedua.
“Ketika ini pasaran merespon kepada spekulasi tentang maklumat rundingan. Pengesahan terhadap perkara ini akan menyebabkan pedagang menambah pembelian dan melonjakkan GBP. Jika rundingan selesai hari ini, kita akan melihat GBP/USD akan naik melebihi 1.3600 dan cuba menguji 1.3700,” kata penganalisis pasaran di ETX Capital.