Ekonomi US berkembang dalam kadar sederhana pada tempoh kewangan suku keempat, dengan kadar pertumbuhan secara keseluruhan merosot dari tempoh yang pernah dicatatkan pada Julai-September.
Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK (Gross Domestic Product, GDP) hanya meningkat 1.9% pada suku keempat 2016 seperti yang dikeluarkan pada Selasa. Bacaan kali ini sedikit rendah dari yang dilaporkan bulan lalu dan di bawah jangkaan 2.1%.
Tahun 2016 merupakan tahun kesebelas berturut-turut ekonomi Amerika Syarikat gagal berkembang melebihi 3%. Presiden Trump sebelum ini berikrar akan melipatgandakan pertumbuhan ekonomi sehingga mencapai pertumbuhan 4% tahun ini. Tetapi ramai penganalisis berpendapat ia sukar dicapai.
Presiden Trump dijangka akan menjelaskan perancangan polisi fiskalnya kepada kongres pada esok hari Rabu pukul 10 pagi waktu tempatan. Sebelum ini Trump berjanji akan membuat pemotongan cukai dan juga rangsangan fiskal sehingga US$1 trillion.
Seperti yang telah kita bincangkan dalam artikel-artikel sebelum ini, agenda pertumbuhan ekonomi Trump disambut baik oleh sektor perniagaan US. Syarikat multinasional di US dijangka akan mendapat tambahan keuntungan beratus billion selepas cukai.
Perniagaan kecil dan sederhana juga yakin dengan polisi yang dibawa oleh Trump yang akan menyokong pertumbuhan. Hal ini ditunjukkan oleh data terbaru tinjauan perniagaan kecil NFIB yang melonjak ke paras tertinggi 12 bulan lepas.