Matawang Turki ‘Lira’ melonjak 2.5%, bon meningkat dan juga pasaran saham Turki selepas kemenangan Erdogan pada Ahad, walaupun kemenangannya dikatakan sebagai tidak adil dan berhadapan kritikan dunia. Lira walaubagaimanapun kini telah kehilangan satu peratus dari keuntungan yang dicatat.
Sebelum undian dibuat pada Ahad, pegangan bon Turki oleh pelabur asing jatuh ke paras terendah sejak lima tahun lalu.
Dengan Erdogan memenagi referendum ini akan memastikan beliau mendapat lebih kuasa dalam ekonomi dan polisi monetari. Sesetengah pelabur berpendapat kemenangan ini akan memberikan kestabilan politik dalam jangka pendek.
“Kami jangka kelegaan sementara dalam lonjakan aset pelaburan di Turki berikutan ketidaktentuan terhadap undian ‘tidak‘ telah pulih,” kata Tatha Ghose dari Commerzbank AG.
“Tetapi pergerakan itu dijangka tidak berpanjangan. Pasaran seakan memberi fokus semula kepada cabaran terbesar politik Turki — hubungan Turki dengan US dan Rusia, cabaran di sempadan Kurdish dan hubungannya dengan Kesatuan Eropah,” tambahnya.
Cabaran dalam politik Turki begitu sukar. Laporan mengatakan perbincangan bagi mengakses Kesatuan Eropah mungkin akan digantung jika undian yang dilakukan pada Ahad tidak berubah.
Ketika ini Erdogan telah mendapat apa yang beliau mahukan. Persoalan ketika ini adalah “apa yang akan beliau buat dengan kuasa yang baru ini,” kata penganalisis di Nordea Bank Anders Svendsen.