Harga minyak mentah bangkit semula pada hari Rabu apabila penurunan inventori di AS memberi sokongan kepada pasaran.
Penanda aras bagi pasaran minyak global iaitu minyak Brent meningkat sebanyak 56 sen atau sebanyak 1.1 peratus kepada $51.02 setong. Sementara itu, WTI mentah meningkat sebanyak 48 sen kepada $48.14 setong.
Pada hari Selasa, WTI mentah merosot sebanyak 2.4 peratus kepada paras terendah sejak 21 Mac, manakala Brent terus ditutup kepada nilai terendah sepanjang tahun ini, sekali gus memadam semua keuntungan semenjak perjanjian OPEC sebelum ini.
Walau bagaimanapun, Ketua Penganalisis Pasaran di CMC Markets mengatakan bahawa, pelabur masih berhati-hati untuk meletakkan position buy sementara menanti data rasmi yang bakal dikeluarkan oleh EIA hari ini.
Laporan daripada Institut Petroleum Amerika (API) yang dikeluarkan semalam menunjukkan stok minyak mentah AS menjunam minggu lepas dengan kedua-dua minyak petrol dan produk tapisan turut mencatat penurunan.
Inventori mentah menjunam sebanyak 4.2 juta tong pada minggu berakhir 28 April sehingga 528.3 juta tong berbanding jangkaan penurunan sebanyak 2.3 juta tong. Stok minyak di hab penghantaran minyak terbesar di AS juga merosot sebanyak 215,000 tong.