US Dollar masih mencipta keuntungan sederhana berbanding Yen pada Khamis walaupun pelan cukai Amerika Syarikat gagal memberikan kejutan yang besar buat pasaran sekali gus menghentikan lonjakan mendadak matawang US Dollar dalam sesi Asia.
Dalam masa yang sama, pasaran juga menantikan keputusan dasar monetari yang akan diumumkan oleh Bank Pusat Eropah.
US Dollar melonjak sebanyak 0.15 peratus kepada 111.220 Yen.
US Dollar melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh empat minggu daripada 111.780 Yen semalam, sebelum pelancaran pelan pembaharuan cukai Trump. Namun begitu, matawang itu kehilangan tarikan apabila pengumuman Trump dikatakan gagal merangsang pelabur.
Dasar cukai dibawah pelan Trump akan mengurangkan kadar cukai pendapatan yang dibayar oleh syarikat awam kepada 15 peratus berbanding 35 peratus termasuk mengurangkan kadar cukai kepada perniagaan perkongsian kecil dan pemilikan tunggal kepada 15 peratus daripada 39.6 peratus.
Menurut ahli strategi forex kanan di IG Securities di Tokyo, pelan cukai Presiden terbabit tidak begitu melampau seperti yang dilaporkan oleh media sepanjang minggu ini.
Dalam sesi Asia juga, Euro dilaporkan meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada $1.0911.
Euro mencatat momentum yang agak memberangsangkan sepanjang minggu ini dengan pendakian ke puncak tertinggi dalam tempoh 5 ½ minggu apabila pusingan pertama pilihanraya Presiden Perancis mengurangkan risiko kepada matawang berkenaan.
Keuntungan bagi matawang Euro sepanjang minggu ini juga didorong oleh jangkaan perubahan dalam hala tuju dasar ECB bagi beberapa bulan akan datang yang diramal akan mengurangkan rangsangan monetari.
Dollar Australia pula dicatat lebih tinggi selepas bangkit daripada kejatuhan sebelum ini selepas data inflasi tempatan dilapor mengecewakan.
Dollar Kanada pula mencatat prestasi sebaliknya apabila AS dijangka akan menarik diri daripada perjanjian NAFTA apabila Trump dikatakan sedang menimbang perintah eksekutif yang akan membawa AS keluar daripada perjanjian berkenaan.