Matawang GBP melonjak pada Khamis berbanding matawang-matawang utama yang lain selepas komen hawkish Bank of England (BoE) dalam penetapan polisi monetari. Gabenor Carney dan kenyataan polisi menunjukkan kadar faedah berkemungkinan akan dinaikkan lebih awal daripada jangkaan bank pusat pada November.
Dengan komen yang hawkish dan unjuran pertumbuhan ekonomi yang positif pada Khamis telah melonjakkan GBP/USD hampir 200 pip. Terdapat juga petunjuk di mana pedagang-pedagang telah menyerap (priced-in) kenaikan kadar faedah Bank of England (BoE) seawal Mei ini.
Walaubagaimanapun selepas lonjakan GBP/USD semalam, pasangan matawang ini jatuh dengan mendadak berikutan risiko dalam pasaran yang dibawa oleh Wallstreet.
Matawang GBP meneruskan lagi kejatuhannya pada Jumaat dengan sentimen negatif Brexit selepas komen oleh ketua perunding Kesatuan Eropah (EU) Michael Barnier.
Michael Barnier hari ini memberi amaran terhadap cadangan ‘tempoh peralihan Brexit’ tidak akan diberikan jika terdapat percanggahan pendapat yang besar antara EU dan UK. Beliau juga mengatakan ini akan mengancam rundingan yang sedang berjalan.
Barnier mengatakan terdapat tiga percanggahan yang besar terhadap tempoh peralihan selepas Brexit. Beliau menegaskan, jika percanggahan ini berterusan EU tidak akan memberikan ‘tempoh peralihan’ kepada UK.
Sentimen inilah yang menyebabkan kejatuhan matawang GBP ketika ini. GBP/USD jatuh sehingga hampir 200 pip sejak pukul 3 petang pada Jumaat.