Matawang GBP kini membuat kenaikan dengan GBP/USD naik sehingga hampir 60 pip setakat ini selepas data pekerjaan UK dikeluarkan pada pukul 5.30 petang tadi. GBP bukan sahaja membuat kenaikan berbanding US dollar tetapi juga berbanding Yen, NZD dan Euro.
Data pekerjaan UK kali ini sememangnya memberangsangkan dengan kadar gaji yang naik lebih daripada jangkaan dan juga kadar pengangguran yang merosot. Indeks purata pendapatan (Average earning index) naik sebanyak 2.8% melebihi jangkaan 2.6%. Ini juga adalah kenaikan terbesar sejak September 2015 jika dibandingkan dengan kenaikan 2.7% bulan lalu.
Bulan lalu, Ketua Ekonomi bank pusat Andy Haldane berkata beliau menjangka kenaikan gaji akan meningkat bermula pada Januari dan berkemungkinan akan mencapai paras 3% pada Mac.
Data kali ini juga menunjukkan kadar pengangguran berkurangan ke paras terendah 40 tahun yang lalu.
Walaupun data inflasi UK pada Selasa meleset daripada jangkaan, data ini dilihat akan mengimbangi kejatuhan matawang GBP semalam. Kenaikan kadar gaji ke paras tinggi hari ini akan memberi petunjuk kepada bank pusat untuk menaikkan kadar faedahnya pada Mei.