Penutupan kerajaan (government shutdown) di Amerika Syarikat telah berakhir selepas Presiden Trump menandatangani rang undang-undang perbelanjaan sementara kerajaan. Sebelum itu, ia telah diluluskan terlebih dahulu oleh Kongres AS yang menamatkan penutupan kerajaan selama 3 hari yang bermula tengah malam Jumaat.
Perbelanjaan sementara ini akan menampung dana kerajaan sehingga 8 Februari dengan undian 266-150 di Dewan Perwakilan (House of Representative). Ini akan membolehkan kerajaan dibuka semula sepenuhnya pada Selasa.
Namun, kelulusan terbaru ini tidak memasukkan program DACA (program Tindakan Tertangguh Ketibaan Kanak-Kanak) yang menjadi syarat utama Demokrat meluluskan perbelanjaan sementara.
Rumah Putih (White House) juga telah mengumumkan kerajaan Amerika Syarikat akan beroperasi sepenuhnya pada Selasa.
Ketua Senat Republikan Mitch McConnel berjanji akan membenarkan rang undang-undang baru imigran untuk diluluskan bulan depan, yang menjadi syarat Demokrat menyokong perbelanjaan sementara kerajaan. Jika Republikan tidak memenuhi janji tersebut, berkemungkinan akan berlaku lagi ‘government shutdown‘ selepas 8 Februari nanti.
Dalam perkembangan sama, ketua senat demokrat Schumer menyangkal Presiden Trump yang tidak membantu selama 3 hari ini untuk mencapai kata sepakat antara Demokrat dan Republikan. Senator New York itu mahu sejumlah 700,000 imigran kanak-kanak yang dibawa masuk semasa pentadbiran Obama diiktiraf oleh kerajaan selepas program DACA ini ditamatkan oleh Trump pada tahun lalu.