Pasangan matawang GBP/USD bergerak lebih rendah dan kekal lemah dalam tiga sesi berturut-turut. Pair ini gagal membuat kenaikan selepas data pertumbuhan ekonomi UK dikeluarkan pada pukul 4.30 petang tadi.
Terdapat dua data ekonomi penting yang dikeluarkan dari UK pada minggu ini. Akaun semasa UK yang dikeluarkan pada Khamis merekodkan defisit yang semakin berkurangan kepada £ -18.4 billion berbanding jangkaan £-24 billion dan bacaan sebelum ini £-19.2 billion.
Dalam masa yang sama data pertumbuhan ekonomi UK bagi suku keempat 2017 mencatatkan bacaan yang sejajar dengan jangkaan, iaitu 0.40%. Data kali ini tidak banyak menambah keyakinan terhadap ekonomi UK, dengan itu matawang GBP tidak banyak berubah setakat pada pukul 5 petang.
Matawang GBP pada Khamis melemah berbanding majoriti matawang utama yang lain berikutan laporan penangguhan rundingan Brexit antara UK-EU. Hal ini sebenarnya hanya akan melewatkan lagi rundingan antara kedua-dua pihak.
Matawang GBP setakat ini telah melemah dalam dua sesi sebelum ini berikutan faktor hujung bulan dan minggu terakhir suku pertama 2018.