Matawang Sterling (GBP) menguat berbanding matawang-matawang utama yang lain pada Selasa dengan GBP/USD naik sehingga lebih dari 110 pip dengan GBP/JPY pula melonjak 140 pip. Seperti biasa, apa yang boleh kita kaitkan kepada kenaikan ini adalah isu rundingan Brexit dan sememangnya terdapat retorik yang dikeluarkan oleh pembuat dasar dari kalangan ahli Kesatuan Eropah pada Selasa.
Pemerhati pasaran berharap rundingan Brexit akan berakhir dengan baik selepas laporan Dow Jones menunjukkan UK dan Kesatuan Eropah (EU) berkemungkinan akan mencapai kata sepakat pada Isnin minggu depan.
Selain daripada itu, ucapan oleh Menteri Ireland Coveney juga meningkatkan keyakinan dalam perjanjian. Beliau mengutarakan sedikit keraguan terhadap cadangan yang dibuat oleh UK tetapi menunjukkan EU sudi untuk berkompromi seterusnya berpotensi membawa kepada halatuju yang lebih jelas dalam tempoh enam minggu mendatang.
Coveney menjelaskan bahawa bulan November adalah masa yang tepat untuk menandatangani perjanjian Brexit.
Menteri Brexit, Dominic Raab juga memberikan komen positif mengesahkan rundingan berjalan dengan lancar di mana UK bekerja sama dengan EU. Walaubagaimanapun, beliau menegaskan bahawa UK tidak akan menerima sebarang ancaman kepada integriti negara mereka (sempadan Ireland) dan UK akan terus bersedia jika tiada perjanjian dicapai.