Matawang GBP bergerak dalam julat lebih dari 100 pip sekitar pukul 8.30 malam tadi berikutan perkembangan dalam isu Brexit. Pasangan matawang GBP/USD naik 105 pip dari paras terendah yang dicapai pada Isnin.
Bloomberg melaporkan bahawa Perdana Menteri Theresa May sedang bersedia untuk memberikan tawaran yang signifikan kepada Kesatuan Eropah (EU) dalam usaha mendapatkan perjanjian.
Perjanjian perpisahan kedua-dua pihak selama ini berhadapan halangan dalam isu sempadan Ireland. Selama ini kedua-dua pihak tersekat dengan persoalan bagaimana untuk mengelak pemeriksaan polis dan kastam di sempadan antara UK dan Ireland, namun pihak UK kini melihat jalan keluar untuk mendapatkan persetujuan, demikian yang dikatakan oleh pegawai rasmi kerajaan UK.
UK berkemungkinan tidak akan menentang dan membiarkan kebebasan pergerakan di sempadan Ireland, tetapi dengan satu syarat bahawa EU membenarkan UK termasuk Ireland Utara terus kekal di dalam Custom Union. Ini bermakna, jika EU menerima tawaran tersebut tanpa sebarang syarat, UK kekal dapat mengakses pasaran tunggal, yang bermaksud Soft-Brexit dan baik kepada ekonomi UK.