US dollar melemah pada Rabu menjelang pembukaan pasaran New York di mana terdapat aktiviti pengambilan keuntungan oleh pemain-pemain pasaran sebelum pengumuman polisi oleh The Federal Reserve pada pukul 2 pagi nanti.
Mesyuarat FOMC kali ini adalah antara peristiwa terpenting dalam kalendar ekonomi tahun 2018 kerana ia akan dipengerusikan oleh Pengerusi baru Jerome Powell yang menggantikan Janet Yellen.
Indeks US dollar kini mengalami kejatuhan sehingga 0.23% setakat pada pukul 8.42 malam. Kelemahan US dollar ini jelas dilihat berbanding matawang Euro dan Yen sejak pembukaan pasaran Asia pada Rabu. Dengan kelemahan US dollar, kedua-dua matawang yang dianggap antara paling cair di dunia itu berjaya membuat pengukuhan.
Tumpuan utama pasaran malam ini adalah sidang media Jerome Powell pada pukul 2.30 pagi. Ini adalah kali pertama beliau akan menjawab persoalan wartawan dalam sidang media selepas penetapan polisi monetari. Ada juga di kalangan pemain pasaran yang ragu dengan kebolehan US dollar untuk membuat kenaikan yang banyak malam ini.
Ada juga yang berpendapat US dollar dalam jangka masa sederhana akan membuat kenaikan kerana The Fed adalah satu-satunya bank pusat yang menaikkan kadar faedah lebih pantas berbanding bank pusat utama yang lain.