Pair USD/JPY jatuh sehingga hampir 60 pip, di mana EUR/USD naik 54 pip setakat pukul 9.10 malam. Matawang US dolar dilihat tertekan selepas data CPI A.S. dikeluarkan pukul 8.30 malam tadi. Bacaan menunjukkan tiada kenaikan yang drastik yang hanya menepati jangkaan dan ramalan penganalisis ekonomi. Ini menunjukkan tiada sebarang tanda inflasi meningkat lebih pantas pada tahun ini.
Indeks harga pengguna (CPI) Amerika Syarikat perlahan pada Februari berikutan kejatuhan harga gasolin. Ini menunjukkan kemungkinan kenaikan inflasi hanyalah secara beransur-ansur.
Harga pengguna hanya meningkat 0.2% pada bulan lalu selepas membuat kenaikan 0.5% pada bulan sebelum itu. Dalam tempoh 12 bulan sehingga Februari (YoY), CPI meningkat 2.2% naik dari 2.1% pada Januari. Bacaan sebenar menepati jangkaan pasaran dengan kenaikan 0.2%.
Jika tidak mengambil kira harga barangan yang volatile seperti tenaga dan makanan, harga (Core-CPI) naik 0.2% berbanding kenaikan 0.3% pada Januari. Manakala dari segi tahunan (YoY) Core-CPI meningkat 1.8% tidak berubah daripada bacaan sebelum ini.
Data CPI sebentar tadi diumumkan selepas data kadar gaji (average hourly earnings) minggu lalu meleset daripada jangkaan pasaran. Dengan data CPI yang sejajar dengan jangkaan pasaran, ia dilihat gagal meyakinkan pasaran bahawa terdapat kenaikan kadar faedah yang lebih pantas oleh The Fed pada tahun ini.