Matawang Yen kembali mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat pada Khamis berikutan kebimbangan terhadap ketegangan perang dagang di antara Amerika Syarikat dan China yang semakin meningkat.
Selain itu, kenaikan pada matawang safe-haven itu juga didorong oleh faktor kebimbangan rundingan Brexit dan isu-isu lain yang menyumbang kepada risiko dalam pasaran. Sentimen pasaran risk-off sebegini akan memberikan manfaat pada dagangan Yen untuk mengukuh dan menjadi tarikan para pelabur.
Selepas pentadbiran Trump menyenarai hitamkan syarikat teknologi gergasi Huawei dari China, kebimbangan pasaran terus meningkat apabila laporan terbaru berkenaan Amerika Syarikat bakal mengenakan sekatan pula ke atas syarikat Hikvison, juga syarikat teknologi dari China.
Sementara itu, matawang yang menjadi tumpuan pada dagangan semalam adalah Pound Sterling yang terus menyaksikan kemerosotan pada nilai dagangannya. Sterling mencatatkan penurunan terbesar mingguan pada minggu ini dan turut merekodkan penurunan terendah berbanding USD sejak dagangan Januari lalu.
Desas desus mengatakan bahawa menteri-menteri kabinet sedang merancang untuk mendesak Perdana Menteri Theresa May melepaskan jawatan beliau selepas gagal meyakinkan parlimen untuk menyokong pelan Brexit versi pindaan terbaru beliau dan berkemungkinan membuka peluang untuk referendum terbaru dalam perjanjian terakhir.
Kegagalan demi kegagalan Theresa May terus menurunkan keyakinan pelabur terhadap dagangan GBP beberapa minggu kebelakangan ini. Situasi yang berterusan ini turut menyumbang kepada risiko dalam pasaran kewangan.
Matawang komoditi dolar Australia turut menunjukkan dagangan yang menurun terkesan oleh sentimen perang dagang yang merisikokan Aussie. Begitu juga dagangan pada dolar New Zealand yang mencatatkan penurunan berbanding USD ke paras terendah sejak Oktober tahun lalu.
Dolar Kanada pada dagangan Rabu berjaya mencapai paras tertinggi bulanan semalam selepas Presiden Donald Trump memberitahu kongres untuk mengutamakan rundingan dagang bersama Kanada dan Mexico.
Selain itu juga, data domestik menunjukkan peningkatan pada kadar jualan runcit pada bulan Mac berbanding Februari berikutan kenaikan jualan di stesen-stesen petrol, menurut Jabatan Statistik Kanada.