Amazon bakal membuka sebuah pejabat di selatan India, Hyderabad dimana ia merupakan pejabat yang paling besar pernah dimiliki oleh Amazon. Pejabat seluas 9.5 ekar itu boleh menempatkan kira-kira 15 ribu pekerja dan ini menunjukkan Amazon serius dalam mengembangkan pasaran mereka.
Dalam pada itu, harga saham Amazon ditutup tinggi pada nilai $1,823.54, naik $22.16 atau 1.23%. Walaupun pasaran e-dagang semakin berkembang serta ekonomi yang semakin pesat, India telah membuktikan bahawa pasaran mereka tidak semudah yang disangka untuk ditembusi oleh Amazon.
Awal bulan ini menyaksikan Amazon telah melakukan perbincangan untuk membeli pegangan di dalam dua syarikat gergasi peruncitan India, Reliance Retail dan Future Retail Ltd. Amazon juga dilihat berminat untuk mendapatkan Uber Eats India.
India yang juga merupakan negara yang paling pesat dalam pertumbuhan ekonomi pernah menjadi titik permulaan bagi pelan pertumbuhan antarabangsa Amazon. Bagaimanapun, sekatan ke atas syarikat luar yang berkuatkuasa awal tahun ini menyebabkan hasrat Amazon untuk mendominasi pasaran terhalang. Turut terkena tempias syarikat seterunya, Walmart.
Pertumbuhan yang ditunjukkan di peringkat antarabangsa dilihat agak lemah jika hendak dibandingkan dengan bisnesnya yang lain. Untuk suku kedua, jualan antarabangsa Amazon mencatat nilai $14.9 bilion, naik 12% berbanding suku yang sama tahun lalu manakala di bahagian Utara Amerika pula jualan meningkat 20% kepada $38.7 bilion.
Walaubagaimanapun, CFO Amazon Brian Olavsky tetap optimis terhadap pendapatan yang baru diumumkan bulan lalu sambil menyifatkan keadaan pasaran akan kembali pulih. Tambahnya lagi, melalui kerjasama dengan India membolehkan mereka melabur dalam bidang teknologi dan infrastruktur serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.