Organization of the Petroleum Exporting Countries (OPEC) ataupun Organisasi Negara-Negara Pengeksport Petroleum adalah gabungan daripada 14 buah negara yang mempelopori industri pengeluaran minyak di dunia. Berpengkalan di Austria, pembentukan awal OPEC pada tahun 1960 adalah terdiri daripada Iraq, Kuwait, Arab Saudi dan Venezuela.
Tujuan OPEC ditubuhkan adalah untuk memantau kestabilan dan harga minyak mentah dalam pasaran di mana pada sebelumnya ditentukan oleh kumpulan syarikat minyak multi-nasional di Amerika Syarikat. Berdasarkan data, negara-negara OPEC ini telah menyumbang kepada 44% pengeluaran minyak mentah dunia dan bersama, mereka mengawal lebih 80% bekalan simpanan minyak mentah dunia.
Menteri Tenaga dan Minyak OPEC mengadakan pertemuan dua kali setahun di Austria untuk membincangkan isu pengeluaran minyak mentah sama ada perlu menambahkan atau mengurangkan pengeluaran dalam usaha untuk mengekalkan kestabilan pasaran minyak mentah global.
Pengguna terbesar minyak mentah dunia adalah Amerika Syarikat dan China. Perkembangan pesat pada sektor perindustrian China sekitar tahun 2000-an dengan kekurangan bekalan minyak telah mendorong kepada peningkatan harga minyak mentah. Dengan itu, faktor ekonomi di China turut mempengaruhi pasaran minyak mentah secara tidak langsung.
Sekiranya OPEC membuat keputusan untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah, situasi sebegini akan memberi kelebihan terhadap negara pengeksport minyak yang tidak tergolong dalam kumpulan OPEC seperti Kanada dan Rusia. Oleh sebab itu, sebagai contoh, matawang dolar CAD akan melonjak memberi reaksi terhadap pengurangan pengeluaran minyak oleh OPEC menyebabkan permintaan tinggi terhadap bekalan minyak Kanada seterusnya meningkatkan nilai matawang Loonie.