Dagangan dolar Australia menjadi matawang tumpuan pada hari ini berikutan pelabur yang menantikan keputusan mesyuarat polisi monetari untuk Oktober 2019.
Sebelum itu, sesi pasaran Asia memperlihatkan pergerakan turun naik harga pada carta pasangan matawang AUD/USD dengan bacaan data kelulusan pembinaan bangunan baru di Australia yang mencatatkan angka yang lemah. Bacaan menunjukkan penurunan bagi bulan ketiga berturut-turut.
Seterusnya, fokus beralih pada keputusan mesyuarat polisi monetari bank pusat Australia di mana Reserve Bank of Australia (RBA) seperti yang dijangkakan pasaran telah menurunkan kadar faedah 25 mata asas kepada 0.75% daripada 1.00% sebelum ini.
Penurunan tersebut adalah kali ketiga dilakukan dalam tempoh lima bulan dan juga merekodkan penetapan kadar terendah yang terbaru dalam sejarah penetapan kadar bank pusat Australia.
Susulan keputusan mesyuarat RBA dikeluarkan, harga pada AUD/USD melonjak sekitar 40 pips menguji zon resistance pada paras 0.6775 sebelum harga kembali menjunam semula.
Dengan kenyataan bank pusat yang bernada dovish berikutan kadar faedah dijangka akan terus kekal rendah untuk tempoh yang lebih lama telah mendorong penurunan sehingga 70 pips ke paras terendah terbaru pada carta harga AUD/USD menuju ke zon support 0.6700 menjelang pembukaan sesi pasaran Eropah.
Harga berkemungkinan akan menguji zon support tersebut yang gagal ditembusi pada dagangan Ogos lalu sebelum arah pergerakan harga lebih jelas dapat dilihat sama ada akan meneruskan penurunan lebih rendah atau kembali pantul membuat kenaikan semula.
Rujuk gambar carta harga pasangan matawang AUD/USD yang disediakan di bawah bagi membantu analisis teknikal anda.