Harga minyak mentah kembali mencatatkan peningkatan pada Jumaat selepas dua hari penurunan sebelum ini, disokong oleh faktor kenaikan pada bacaan jualan runcit Amerika Syarikat yang mengurangkan kebimbangan terhadap risiko kemelesetan terhadap ekonomi terbesar dunia itu.
Data jualan runcit AS meningkat kepada 0.7% untuk bulan Julai kembali mengukuhkan semula dagangan dolar AS yang menyusut sebelum itu ekoran situasi panik dalam pasaran disebabkan oleh berlakunya penyongsangan lengkungan pada hasil bon Amerika Syarikat buat pertama kali sejak 2007.
Situasi ‘inverted yield curve’ tersebut turut menjejaskan pasaran saham dan juga terhadap pasaran minyak mentah dunia.
Harga minyak mentah Brent masih lagi meningkat di sekitar paras 10% berikutan faktor pengurangan bekalan oleh OPEC dan rakan sekutunya dikenali sebagai OPEC+. Pada Julai lalu, OPEC+ bersetuju untuk melanjutkan pengurangan bekalan minyak sehingga Mac 2020 untuk mengawal harga minyak mentah global.
Sementara, harga emas kekal tinggi walaupun mencatatkan sedikit penurunan pada Jumaat untuk merekodkan kenaikan untuk minggu ketiga berturut-turut.
Faktor pertumbuhan ekonomi global yang perlahan serta perkembangan pasif terhadap rundingan dagang AS-China menjadi faktor dorongan terhadap pengukuhan nilai emas dalam pasaran semasa.
Sentimen pasaran yang tidak menentu beberapa minggu ini membuatkan dagangan komoditi sukar untuk dijangka, namun dapat dilihat reaksi harga yang sensitif terhadap sentimen pasaran.
Kekal mengawal risiko dalam dagangan serta peka terhadap perubahan sentimen semasa dalam memantau perkembangan dagangan komoditi setiap hari.