Dengan ketiadaan data-data utama pada hari ini, pergerakan pasaran penghujung minggu dilihat perlahan sejak sesi Asia sehingga bersambung pada sesi pasaran Eropah.
Matawang dolar Euro mencatatkan penurunan ke paras terendah dua minggu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan tekanan diberikan oleh pengukuhan matawang tersebut selepas data jualan runcit AS yang mencatatkan bacaan lebih baik dari jangkaan.
Manakala, dagangan Pound Sterling pula menunjukkan kenaikan untuk hari kedua selepas pasaran pada minggu ini berdepan data-data penting bermula awal minggu dan bacaan data ekonomi di Britain adalah positif.
Selepas data inflasi United Kingdom mencatatkan bacaan yang meningkat, data jualan runcit UK semalam turut sama merekodkan peningkatan dan dengan itu menyokong pergerakan matawang GBP dari terus merudum.
Data jualan runcit yang meningkat lebih tinggi pada Julai memberi isyarat yang positif daripada pengguna, didorong oleh data pendapatan yang kukuh serta tekanan inflasi yang sederhana, jika dilihat pada data yang diterbitkan awal minggu.
Ini menunjukkan kadar perbelanjaan pengguna masih lagi stabil dan menyokong ekonomi walaupun keseluruhan pengeluaran mempamerkan penguncupan untuk suku kedua tahun ini.
Permintaan terhadap matawang Sterling juga didorong oleh usaha parti pembangkang untuk menghalang Perdana Menteri UK Boris Johnson untuk melaksanakan pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah tanpa ikatan perjanjian pada penghujung Oktober nanti.
Parti pembangkang buruh mengatakan mereka akan mengadakan undian tidak-yakin (no-confidence vote) dalam kerajaan Johnson dan percaya kemenangan akan berpihak pada mereka dengan bertujuan untuk menangguhkan Brexit.
Namun begitu, pelabur tetap melihat risiko Brexit akan kembali memberi tekanan terhadap Sterling dan berkemungkinan penurunan akan kembali berlaku terhadap matawang British itu.