Kebimbangan pasaran yang disebabkan oleh ketegangan perang dagang antara Amerika Syarikat dan China dilihat menyokong dagangan dolar Amerika pada hari ini.
Akhbar The People’s Daily yang dimiliki oleh Parti Komunis pemerintah di China telah memberi amaran bahawa Beijing bersiap sedia untuk menggunakan elemen nadir bumi sebagai senjata sokongan dalam perang dagang berdepan Amerika Syarikat.
Dengan nada yang ekstrem, China menyatakan “jangan katakan yang kami tidak memberi amaran”. Selain itu juga, China menegaskan supaya tidak memandang rendah keupayaan mereka untuk bertindak balas terhadap Amerika Syarikat.
Amaran tersebut muncul susulan Global Times melaporkan pada Selasa bahawa China sedang mempertimbangkan untuk mengetatkan eksport logam bumi ke Amerika Syarikat.
Ketika lawatan ke Tokyo minggu ini, Presiden Donald Trump juga ada menyatakan pada persidangan bahawa Amerika Syarikat tidak bersedia untuk membuat perjanjian perdagangan bersama China buat masa ini walaupun China bersedia untuk meneruskannya.
Pelabur melihat situasi ini semakin meningkatkan lagi ketegangan perang dagang di antara dua ekonomi gergasi dunia itu. Situasi yang berlanjutan akan turut menjejaskan keseimbangan pada pertumbuhan ekonomi global.
Sentimen pasaran yang bakal kembali berisiko akan memberi kelebihan terhadap dagangan safe-haven khususnya Yen. Pelabur akan lebih tertarik ke arah aset pelaburan yang lebih selamat dan menjadikan matawang yang berpulangan rendah mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.
Jadi, bagaimanakah agaknya pengakhiran babak kemuncak perang dagang yang terus membimbangkan pasaran semasa ini?
Terus ikuti perkembangan semasa perang dagang Amerika Syarikat dan China untuk membantu anda menilai situasi dalam pasaran dan tahap risiko kepada dagangan harian anda.