Perunding utama perdagangan Amerika Syarikat dan China dilaporkan telah mengadakan perbincangan melalui satu panggilan telefon pada awal pagi ini, menurut Kementerian Perdagangan China.
Perbincangan yang melibatkan Naib Perdana Menteri China Liu He dengan wakil perdagangan AS, Robert Lightzier dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin, dilaporkan berbincang mengenai isu-isu yang berkaitan dengan perjanjian fasa pertama.
Selain itu, mereka juga dikatakan turut berbincang mengenai isu-isu utama yang menjadi kebimbangan kedua-dua negara dan telah mencapai kesepakatan mengenai penyelesaian masalah yang berkaitan.
Kedua-dua belah pihak seterusnya bersetuju untuk kekal berkomunikasi bagi membincangkan mengenai isu-isu yang masih belum selesai dalam perjanjian tersebut.
Laporan tersebut kemudiannya disahkan oleh wakil perdagangan AS, Robert Lightzier dengan memberitahu perbincangan bersama China telah dilakukan. Namun begitu, beliau menolak untuk mendedahkan kandungan perbualannya dengan pihak China.
Penyelesaian perjanjian fasa pertama sebelum ini dijangkakan akan disiapkan pada Oktober. Bagaimanapun, menurut sumber yang rapat dengan White House, memberitahu perjanjian tersebut mungkin akan dibawa sehingga ke tahun depan memandangkan masih banyak isu yang belum diselesaikan apabila China masih terus menekan untuk penghapusan tarif.
Sementara itu, timbul juga kemungkinan bahawa perjanjian perdagangan fasa kedua tidak akan berlaku, memandangkan kedua-dua negara masih bergelut untuk mencapai perjanjian fasa pertama.