Sesi dagangan pada tengah hari menyaksikan Bursa Malaysia kekal mencatat aliran negatif menyusul prestasi pasaran serantau berikutan tumpuan pelabur yang terarah kepada ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat di Jackson Hole Jumaat ini.
Pada tengah hari, penanda aras utama FBM KLCI menyusut 3.09 mata kepada 1,599.06 dengan jumlah dagangan 1.09 bilion unit yang bernilai RM681.93 juta.
Situasi pasaran negatif dengan 367 kaunter rugi mengatasi 269 kaunter untung dan 348 kaunter tidak berubah.
Di bursa tempatan, CIMB mencatat kerugian dengan penurunan 7 sen kepada RM5.11 dan Public Bank susut 6 sen kepada RM20.74 manakala Lambo Group rugi 0.5 sen kepada 5.5 sen.
Selain itu, Nestle meraih keuntungan dengan peningkatan 30 sen kepada RM147.90 manakala F&N meningkat 10 sen kepada RM35.
Saham Asia merosot berikutan kebimbangan terhadap kemelesetan global dan pertikaian perdagangan yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berkurangan di samping pelabur yang mengharapkan rangsangan monetari dan fiskal untuk meningkatkan pertumbuhan, menurut Reuters.
Di pasaran serantau, Nikkei Jepun catat penurunan 0.4%, Indeks Hong Kong Han Seng naik 0.1% manakala Indeks Komposit Shanghai dan Kospi Korea Selatan masing-masing tidak berubah.
Sementara itu, Ringgit direkodkan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama dengan kenaikan 0.25% berbanding dolar AS kepada 4.1710, 0.2% tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0129 manakala berbanding pound sterling, ringgit menokok 0.35% kepada 5.0703.