Saham FedEx Corp. mengalami sedikit penurunan selepas keuntungan dari syarikat logistik itu dilaporkan lebih rendah berbanding jangkaan awal bagi suku tahunan. Berikutan itu, FedEx menurunkan sasaran bagi fiskal tahun 2020 disusuli oleh situasi ekonomi global yang semakin lemah serta perang dagangan yang semakin memuncak.
Syarikat itu berkata ketika ini mereka memperolehi sejumlah $745 juta atau $2.84 sesaham pada suku tahunan, lebih rendah berbanding $835 juta atau $3.10 sesaham yang pernah dicatatkan pada tahun lalu.
Ketua Eksekutif RedEx, Frederick W. Smith berkata prestasi syarikat dilihat akan terus merosot kerana terkesan oleh persekitaran global yang lemah yang didorong oleh peningkatan ketegangan perdagangan dan ketidakpastian dasar. Selain itu peningkatan kos untuk memperluaskan perkhidmatan serta beberapa syarikat besar yang tidak lagi memerlukan khidmat FedEx turut menjadi impak kepada hasil syarikat.
Namun begitu, hasil syarikat dapat diimbangi oleh perbelanjaan pampasan yang lebih rendah, pertumbuhan pendapatan di FedEx Ground dan peningkatan hasil di FedEx Freight. Walaubagaimanapun, FedEx dan FedEx Express memilih untuk menamatkan kontrak penghantaran bagi syarikat gergasi e-dagang, Amazon.
Syarikat itu meramalkan pendapatan selepas pelarasan bagi fiskal tahun 2020 di antara $11 sesaham dan $13 sesaham selepas mengambil kira pertumbuhan sederhana untuk ekonomi AS, jangkaan harga bahan api serta tiada lagi kelemahan dalam keadaan ekonomi antarabangsa. Ketika ini saham FedEx didagangkan pada nilai $173.30, turun $0.27.