Dengan keputusan mesyuarat dasar monetari oleh dua bank pusat utama semalam, seperti dijangkakan harga pada carta pasangan USD/CAD yang menjadi tumpuan pelabur telah memaparkan pergerakan drastik harga pada sesi New York semalam.
Bermula pada awal sesi New York dibuka, tumpuan terarah pada mesyuarat dasar monetari Bank of Canada (BOC) dengan keputusan kadar faedah dikekalkan di paras 1.75% seperti yang dijangkakan pasaran.
Namun, dagangan dolar Kanada mengalami penyusutan ekoran kenyataan berwaspada oleh bank pusat terhadap peningkatan risiko dalam pasaran. Dengan itu, pergerakan harga pada carta USD/CAD telah mencatatkan lonjakan sekitar 130 pips melepasi paras ketinggian 1.32000.
Kemudiannya, menyusul pula keputusan mesyuarat FOMC pada awal pagi tadi yang menjadi faktor matawang dolar USD melemah. Federal Reserve menurunkan kadar faedah kepada 1.75%, menjadikan penurunan kali ketiga untuk tahun ini.
Kesannya, harga kembali membuat penurunan sekitar 50 pips ke paras 1.31550. Seterusnya harga bergerak perlahan bersambung ke sesi pasaran Asia hari ini.
Menuju pembukaan sesi pasaran Eropah, harga masih bergerak dalam julat yang kecil sekitar 20 pips menantikan berita-berita pasaran yang terbaru. Dagangan USD dijangka kekal perlahan dengan kewaspadaan pelabur menantikan laporan pekerjaan NFP pada esok hari.
Paras resistance pada 1.31800 dilihat akan cuba ditembusi sekali lagi oleh harga yang merupakan zon SBR (support become resistance). Kenaikan lebih tinggi bakal menguji pula paras ketinggian pada 1.32300.
Namun jika harga terus ditekan lebih rendah melepasi paras 1.31400, harga berkemungkinan turun sekitar paras harga 1.31000 atau lebih rendah lagi menuju zon support pada 1.30500, menguji paras terendah mingguan.
Lihat gambar carta pasangan matawang USD/CAD di bawah untuk rujukan teknikal analisis anda.