Selepas beberapa siri insiden ketegangan yang berlaku di perairan Iran, dilaporkan pada Jumaat lalu pasukan tentera revolusi Iran, Revolutionary Guard telah bertindak menahan pula kapal tangki minyak milik Britain di perairan Teluk.
Menerusi laporan Reuters, pihak media menyatakan tindakan penahanan oleh Iran tersebut diambil atas arahan pihak berkuasa maritim daerah Hormozgan di Iran kerana tidak mematuhi peraturan maritim antarabangsa.
Revolutionary Guard menyatakan penahanan kapal tangki tersebut adalah disebabkan melanggar tiga peraturan penting iaitu menutup sistem lokasi global (GPS), melalui jalan keluar Selat Hormuz dan bukannya laluan masuk, serta tidak menghiraukan amaran yang diberikan.
Dilaporkan bahawa kapal tangki yang digelar Stena Impero milik Britain tersebut telah ditahan dan dibawa ke kawasan pantai sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
Sebuah lagi kapal tangki Britain, Mesdar turut ditahan namun telah dibebaskan semula dengan amaran diberikan oleh tentera revolusi Iran menerusi laporan di siaran televisyen.
Kerajaan British telah mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan isu hangat tersebut. Majlis Keselamatan White House turut menyedari laporan berkenaan penahanan tersebut.
Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt memberikan komen berhubung kejadian tersebut dengan mengatakan Iran bakal berdepan akibat yang serius jika tidak bertindak membebaskan kapal tangki British yang ditahan itu.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, turut mengulas berkaitan insiden tersebut. Beliau dilaporkan telah mengumumkan akan bekerjasama bersama kerajaan British untuk menyelesaikan masalah kapal tangki tersebut. Dalam komen beliau turut menyatakan Iran sedang berdepan masalah yang besar.
Implikasi jelas terhadap pasaran berikutan insiden tersebut adalah kesan terhadap pasaran minyak terutamanya. Harga minyak kembali meningkat berikutan ketegangan melibatkan Amerika Syarikat, Britain dan Iran. Matawang safe-haven seperti Yen dan Swiss franc bakal mendapat permintaan di atas risiko geopolitik yang berpotensi mempengaruhi sentimen pasaran.