Sesi pasaran Asia untuk permulaan minggu ini menyaksikan kejatuhan ketara pada dagangan matawang Yuan China apabila mencatatkan paras tertinggi untuk 3 minggu berbanding dolar Amerika Syarikat.
Dagangan pasangan matawang USD/CNH yang melonjak ke paras ketinggian sejak awal Julai itu adalah berikutan terjejas oleh tindakan protes di Hong Kong yang membangkitkan kegelisahan terhadap para pelabur.
Ditambah lagi dengan risiko terhadap rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China yang masih belum memberi petunjuk yang jelas, turut menjejaskan dagangan Yuan.
Faktor lain yang turut memberikan tekanan terhadap matawang China itu adalah kejatuhan pada kadar keuntungan perindustrian pada catatan untuk bulan Jun. Bacaan data menurun kepada -3.1% unjuran tahun ke tahun berbanding peningkatan 1.1% pada Mei.
Kumpulan penunjuk perasaan yang membuat tindakan protes di Hongkong membanjiri jalan-jalan utama yang kemudiannya membangkitkan isu-isu sampingan termasuk isu demokrasi, tindakan keganasan oleh pihak berkuasa dan lain-lain lagi.
Berhubung perkembangan rundingan dagang, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin akan memulakan rundingan selama 2 hari di Beijing bermula esok.
Kedua-dua kuasa besar dunia itu akan berusaha untuk menyelesaikan pertelingkahan yang berlarutan selama ini dan dijangka peluang untuk China meningkatkan kadar import untuk produk pertanian Amerika Syarikat adalah tinggi.