Sentimen dagangan USD, matawang bagi dolar Amerika Syarikat itu masih lagi diniagakan lemah sejak Jumaat lalu dengan tidak mengendahkan angka inflasi yang diterbitkan positif.
USD terus dijangka lemah ekoran Federal Reserve (Fed) sedang memasuki fasa kitaran pelonggaran polisi yang terbaru yang digembar gemburkan oleh pegawai Fed walaupun data domestik menunjukkan peningkatan.
Pengerusi Fed, Jerome Powell dalam testimoni kepada Kongres minggu lalu telah meluahkan kebimbangan beliau dengan menyatakan kadar inflasi akan berterusan lemah dan akan mempengaruhi jangkaan inflasi bank pusat.
Dengan tertumpu pada faktor kenyataan Powell tersebut, pasaran dilihat sudah menyerap harga dengan jangkaan penurunan 25 mata asas untuk mesyuarat dasar Julai.
Matawang Euro pula masih dilihat berada dalam kalangan dagangan yang berisiko. Data ekonomi terkini menggambarkan pertumbuhan pada awal tahun adalah sementara. Pergerakan perlahan pada sektor perkilangan khususnya di ekonomi terbesar zon Eropah iaitu Jerman mempengaruhi jangkaan kemerosotan.
Ditambah pula dengan data pengeluaran perindustrian dan juga kadar jualan runcit yang perlahan turut memberikan kegelisahan pelabur. Bank pusat Eropah dijangka akan meningkatkan lagi tindakan rangsangan bagi menjana aktiviti pertumbuhan ekonomi di zon Eropah.
Pound Sterling turut diniagakan perlahan ekoran risiko terhadap ketidaktentuan Brexit dengan lanjutan tampuk kepimpinan yang bakal diterajui calon baru menggantikan Theresa May iaitu Boris Johnson.
Sementara itu, pasaran pada sesi Asia hari ini akan memberi fokus terhadap data ekonomi China yang akan dikeluarkan pada jam 10 pagi.
Data penting melibatkan bacaan pertumbuhan KDNK (GDP) China akan menjadi tumpuan utama. Turut dikeluarkan bersama adalah data pengeluaran perindustrian, data jualan runcit serta bacaan untuk kadar pengangguran di China.
Matawang komoditi dolar New Zealand dan dolar Australia dijangka akan turut memberi reaksi terhadap data China yang dikeluarkan.
Aussie pada minggu ini turut berdepan beberapa data penting seperti minit mesyuarat pada awal pagi Selasa dan juga data pekerjaan Australia pada Khamis.