China didakwa telah menggunakan taktik baru dalam kempen tekanannya terhadap Taiwan dengan mengemukakan beberapa tuduhan dan pengakuan aktiviti pengintipan yang disiarkan di televisyen negara serta mengecam pulau demokratik itu kerana menakut-nakutkan orang ramai untuk tidak berkunjung ke China.
Umum mengetahui bahawa negara kuasa besar tersebut menganggap Taiwan sebagai wilayahnya yang berdaulat dan telah meningkatkan aktiviti kempen untuk menegaskan tuntutannya, termasuk mengirim jet pejuang berdekatan pulau itu.
Sehubungan dengan itu, Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen mengatakan bahawa pulau itu tidak akan memprovokasi tetapi akan mempertahankan diri.
Untuk pengetahuan semua, bermula pada petang Ahad, televisyen negara China telah menyiarkan pengakuan daripada pengintip Taiwan yang ditahan kerana telah menjalankan aktiviti pengintipan mereka di negara tersebut.
Menurut stesen televisyen berkenaan, China kini menjalankan kempen yang dikenali sebagai Thunder 2020. Melalui kempen tersebut, pasukan pengintip Taiwan berjaya diberkas serta telah melibatkan ratusan kes.
Selain itu, Taiwan mengatakan bahawa China sedang memperdaya orang ramai dengan menggesa individu untuk mengakui jenayah sebelum diadili. Ianya merupakan pelanggaran serius terhadap proses undang-undang yang betul, bahkan isu yang telah lama dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia terhadap Beijing.
Tambahan daripada itu, Perdana Menteri Taiwan, Su Tseng-chang mendakwa bahawa China menyebarkan fitnah dan menimbulkan keganasan.
Sebelum ini, kedua-dua pihak telah lama menunding jari antara satu sama lain dalam menjalankan beberapa rangkaian pengintipan. Menurut Perdana Menteri Taiwan, negara di bawah pimpinannya itu tidak lagi melakukan kegiatan tersebut bahkan tiada keperluan untuk bertindak sedemikian.
Walau bagaimanapun, China bertindak untuk berdiam diri dan tidak mahu mengeluarkan apa-apa maklum balas berkenaan isu itu.