Walaupun dengan kelemahan US dolar, logam berharga emas gagal memanfaatkan peluang untuk meningkat lebih tinggi hari ini.
Emas pada mulanya meningkat ketika sesi Asia susulan berita mengenai bantuan pembayaran $600 akan mula diagihkan kepada berjuta-juta rakyat Amerika secepatnya pada malam Selasa (waktu AS).
Bagaimanapun, logam berharga itu kembali mempamerkan penyusutan ketika memasuki sesi Eropah dengan didagangkan di sekitar paras harga $1,879 per auns. Niaga hadapan emas pula didagangkan susut pada $1,883 per auns (3.45 petang waktu Malaysia).
Pergerakan emas agak terbatas berikutan sentimen positif dalam pasaran yang menyebabkan peningkatan aset berisiko dan melemahkan permintaan para pelabur terhadap safe-haven.
Dalam pada itu, pemimpin Majoriti Senat, Mitch McConnell menangguhkan undian untuk meningkatkan jumlah bantuan rangsangan dari $600 menjadi $2,000, setelah Dewan Perwakilan dan Presiden Donald Trump sama-sama menyetujui kenaikan itu pada awal minggu.
Semua tumpuan pasaran kini tertumpu kepada pilihan raya di Georgia pada 5 Januari 2021, yang akan menentukan sama ada ada parti Demokrat atau Republik akan menguasai Senat AS.