Setelah mempelopori industri penerbangan, AirAsia Group AirAsia Group kini melebarkan sayapnya melalui industri pertanian dengan pelancaran platform e-dagang pertanian-ke-perniagaan (B2B), Ourfarm.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mendedahkan bahawa platform Ourfarm akan menghubungkan para petani dan nelayan secara langsung dengan perniagaan, terutamanya pembekal makanan seperti restoran dan trak makanan untuk meningkatkan pendapatan mereka. Selain itu, kedua-dua golongan ini bakal mendapat manfaat melalui platform tersebut.
Tambahan daripada itu, Ourfarm juga bakal menyediakan gudang atau kemudahan rangkaian sejuk yang bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada sektor perniagaan tetapi juga pengguna akhir dapat membeli produk segar seperti sayur-sayuran, ikan dan daging secara atas talian.
Untuk pengetahuan semua, pelancaran Ourfarm ini telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee. Berdasarkan ucapan beliau, usaha yang dijalankan oleh AirAsia ini bukan sahaja dapat menyediakan kemudahan kepada golongan petani dan nelayan bahkan mampu untuk meningkatkan pendapatan mereka. Selain itu, platform yang disokong oleh sistem kargo, logistik, pembayaran, perniagaan dan pengguna eco-sistem AirAsia ini dapat membantu untuk mengatasi cabaran kos operasi dan akses ke pasar baru khususnya buat para petani dengan pembelian produk segar dalam kuantiti yang banyak dengan harga yang lebih rendah.