Menerusi laman sosial media Twitter, ketua pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu keadaan dirinya yang sedang menjalani kuarantin selepas didapati kontak rapat dengan pesakit COVID-19.
“Saya disahkan sebagai kontak rapat dengan pesakit #COVID-19.”
“Saya dalam keadaan baik dan tiada sebarang simptom tetapi akan menjalani kuarantin kendiri untuk beberapa hari berdasarkan protokol yang digariskan @WHO dan akan bekerja dari rumah.”
Kicauan tersebut dimuatnaik di Twitter semalam.
Tedros bukan individu dikenali dunia yang pertama dikaitkan dengan gejala koronavirus.
Sebelum ini pemimpin United Kingdom (UK), Boris Johnson dan presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut menjadi bualan hangat kerana disahkan positif COVID-19.
Setakat ini kes aktif koronavirus seluruh dunia mencatat hampir 12 juta dengan jumlah kumulatif sebanyak hampir 47 juta kes.
AS, India dan Brazil merupakan tiga negara utama yang menyumbang sejumlah besar jangkitan koronavirus dengan masing-masing mencatatkan kematian paling tinggi, melebihi 100,000.