Media tempatan China, Global Times melahirkan rasa optimis hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dapat dipulihkan susulan kemenangan Joe Biden ketika pilihan raya Presiden pada hujung minggu lalu.
Menurut Global Times, isu perdagangan boleh dijadikan sebagai titik mula untuk hubungan tersebut dipulihkan semula.
Jelas Global Times, menghidupkan rundingan perdagangan adalah kritikal bagi memulihkan semula salah faham dan kepercayaan dalam hubungan kedua-dua negara.
Tambah media berkenaan, Beijing perlu berusaha untuk berkomunikasi dengan pentadbiran Biden kelak secara menyeluruh meskipun mengakui AS tidak akan melonggarkan tekanan berhubung isu Xinjiang dan Hong Kong.
Pentadbiran Donald Trump sebelum ini menimbulkan ketegangan dalam hubungan kedua-dua negara terutamanya selepas melaksanakan strategi yang memberi tekanan kepada China, sekali gus menyebabkan jurang dalam dasar AS-China.
Ketegangan antara kedua-dua kuasa ekonomi dunia itu semakin tegang sejak tahun lalu, menggoncang rantaian bekalan teknologi dan hubungan perdagangan serta mencetuskan kebimbangan bahawa perang kewangan antara AS-China akan berlaku.
“Kami percaya jurang antara kedua-dua negara dapat dipulihkan. Rakyat kedua-dua negara dan komuniti antarabangsa mahukan hubungan AS menjadi terkawal.
“China juga mesti menjadi negara yang tidak boleh ditindas oleh AS atau tidak stabil, serta bekerjasama dengan China adalah pilihan terbaik untuk AS merealisasikan kepentingan nasionalnya,” kata Global Times.