Mengakhiri dagangan untuk tahun 2020, US dolar terus memanjangkan penyusutan dengan sentimen positif pasaran melihatkan mata wang Euro, dolar Aussie dan dolar New Zealand terus melonjak ke paras tertinggi terbaru 2 tahun sejak April 2018.
Pelabur meletakkan harapan terhadap pakej rangsangan ekonomi Amerika Syarikat (AS) selepas ditandatangani oleh Presiden Donald Trump di awal minggu.
Menambahkan lagi keyakinan pelabur untuk pemulihan ekonomi setelah vaksin Covid-19 diagihkan sementara perkembangan terbaru terus dipantau.
Pertumbuhan ekonomi AS juga dijangka akan sedikit ketinggalan berbanding ekonomi pesaingnya namun pelabur yakin tahun 2021 akan lebih baik buat AS.
Data ekonomi pada Rabu juga menunjukkan defisit perdagangan meningkat kepada rekod $84.8 bilion pada November daripada $80.3 bilion.
US dolar telah jatuh 0.39% berbanding kumpulan mata wang utama lain kepada 89.65 pada bacaan indeks selepas pada awalnya jatuh pada paras 89.56, terendah sejak April 2018.
Pelabur kekal optimis terhadap pakej bantuan AS walaupun dengan laporan pemimpin majoriti senat, Mitch McConnel pada Selasa yang mengundi untuk menentang bantuan $600 kepada rakyat dinaikkan kepada $2,000.
Bakal Presiden Joe Biden dijangka akan memperhebatkan lagi langkah rangsangan ekonomi AS setelah beliau mengambil alih pemerintahan pada bulan hadapan.
Peningkatan pada mata wang utama, Pound Sterling juga turut pamerkan peningkatan ke paras ketinggian terbaru tahun ini selepas dilaporkan penggubal undang-undang meluluskan rundingan perjanjian Perdana Menteri UK Boris Johnson bersama Kesatuan Eropah (EU).