US dolar stabil pada awal perdagangan minggu ini ketika pasaran menantikan ucapan Pengerusi Federal Reserve AS (Fed), Jerome Powell di Jackson Hole untuk mendapatkan petunjuk lebih jelas mengenai prospek dasar monetari AS.
Sentimen untuk matawang USD meningkat sedikit berikutan disokong oleh data aktiviti perniagaan dan penjualan rumah yang memberangsangkan, dan kemerosotan matawang utama.
Walau bagaimanapun, masih terdapat kebimbangan bahawa pelonggaran monetari tambahan oleh bank pusat mungkin diperlukan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi tetap berjalan.
Setelah diperlihatkan dengan data dalam aktiviti perkhidmatan dan pembuatan di Zon Eropah yang kurang memberangsangkan, matawang euro tersungkur pada dagangan hujung minggu sebelum kembali diniagakan di atas paras harga 1.1800 berbanding USD di sesi Asia hari ini.
Dalam pada itu, matawang pound sterling didagangkan mendatar setelah menjunam lebih 1% berbanding USD pada sesi dagangan hujung minggu, dilemahkan oleh hasil rundingan perdagangan Brexit yang mengecewakan.
Ketua perunding Brexit EU, Michel Barnier mengatakan bahawa perjanjian itu tidak akan mudah dicapai dan beliau juga menyatakan kekecewaannya terhadap perbincangan yang masih tidak menunjukkan sebarang kemajuan.
Turut melemahkan dagangan matawang utama adalah lonjakan kes baru jangkitan Covid-19 di beberapa negara, terutamanya Sepanyol, Perancis dan Jerman yang memperlihatkan kenaikan ketara dalam angka kes Covid-19 harian sejak April.
Di sisi lain, dagangan matawang komoditi juga merosot dengan dolar Aussie diniagakan susut di sekitar paras harga $0.7161, manakala dolar kiwi pula mendatar pada 0.6540 berbanding USD.