Para pelabur sesi Asia diperlihatkan dengan pergerakan gila dalam pasaran selepas keputusan mesyuarat polisi FOMC diumumkan pada awal pagi tadi.
Indeks dolar yang pada mulanya memberi reaksi awal kepada keputusan Federal Reserve (Fed) dengan melonjak tinggi, kembali menjunam lebih rendah di tahap terendah 2 setengah tahun berbanding kebanyakan matawang utama pada 90.10.
Seperti dijangkakan secara meluas, bank pusat itu memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah di paras 0.25% dan meneruskan pembelian bon sehingga terdapat kemajuan yang lebih besar dicapai ke arah sasaran pekerjaan dan inflasi Fed.
Selain itu, dagangan dolar greenback turut ditekan oleh perkembangan positif mengenai rundingan pakej rangsangan AS yang dikatakan semakin hampir untuk mencapai kesepakatan.
Susulan kelemahan USD, euro didagangkan tinggi di sekitar paras harga $1.22000 pada sesi Asia, selain turut dipacu oleh data ekonomi pembuatan dan perkhidmatan Zon Eropah yang memberangsangkan.
Matawang pound turut terbang lebih tinggi selepas mencecah paras harga 1.35000 berikutan penyusutan US dolar dan optimisme pasaran terhadap rundingan perdagangan Brexit akan berakhir dengan perjanjian.
Sementara itu, dolar Kanada memanfaatkan penyusutan US dolar dan peningkatan harga minyak dunia dengan didagangkan mengukuh di paras ketinggian 2 setengah tahun.
Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand turut melonjak lebih tinggi susulan kelemahan US dolar, di samping turut disokong oleh data pekerjaan Australia yang memberangsangkan.
Dolar kiwi cecah rekod ketinggian terbaru selepas Menteri Kewangan New Zealand memberitahu bahawa beliau tidak kisah dengan nilai matawang New Zealand yang tinggi kerana ekonomi dilihat lebih kukuh daripada dijangkakan. Ini secara tidak langsung telah mendorong jangkaan kadar faedah negatif oleh bank pusat makin jauh.