Dagangan emas kembali susut pada Jumaat setelah melonjak lebih tinggi ketika sesi pasaran New York berikutan kebangkitan semula US dolar telah melemahkan permintaan terhadap logam kuning itu.
Spot emas diniagakan berlegar di sekitar harga $1,893 per auns setelah melonjak 1% ke paras tertinggi lebih satu minggu pada $1,911 per auns, sementara niaga hadapan emas pula pada $1,899 per auns (11.35 pagi waktu Malaysia).
Namun begitu, logam berharga ini telah meningkat 1.8% minggu ini, iaitu kenaikan peratusan mingguan terbesar sejak minggu yang berakhir pada 7 Ogos.
Indeks dolar meningkat 0.2% berbanding kebanyakan matawang utama, menjadikan emas lebih mahal bagi pemegang matawang lain.
Pada Khamis, Dewan Perwakilan AS telah meluluskan pelan rangsangan coronavirus bernilai $2.2 trilion yang dicadangkan oleh Demokrat.
Bagaimanapun, ketidakpastian bahawa ia akan mendapat kelulusan Senat kembali menekan sentimen setelah Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi memberitahu masih terdapat perbezaan antara dua pihak disebabkan isu bantuan negara dan negeri.
Pelabur kini akan mengalihkan perhatian mereka kepada penerbitan data pekerjaan NFP pada malam ini, selain turut mengikuti perkembangan dalam rundingan terhadap pakej rangsangan AS.