Pegawai kanan perisikan Amerika Syarikat (AS), John Ratcliffe mendakwa China merupakan ‘ancaman terbesar terhadap demokrasi dan kebebasan’ sejak Perang Dunia Kedua.
Menurut Ratcliffe seperti dipetik oleh Wall St Journal, China telah memperluaskan kuasanya dengan ‘mencuri’ rahsia AS dan kemudiannya menggantikan firma-firma AS di pasaran.
Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump bertindak keras terhadap China dengan mengenakan tarif ke atas barangan Beijing serta menuduh negara itu mencuri harta intelektual.
Ratcliffe yang berkhidmat sebagai Pengarah Perisikan Nasional turut memberi amaran bahawa Beijing sedang bersiap sedia untuk berkonfrontasi dengan AS dan berniat untuk mendominasi dunia dari aspek ketenteraan, ekonomi dan teknologi.
Ujar beliau lagi, China terlibat dalam bentuk pengintipan ekonomi yang digambarkan sebagai ‘merompak, meniru dan mengganti’. Ratcliffe memberi contoh tentang satu kes membabitkan firma kincir angin China yang didapati bersalah kerana mencuri daripada syarikat pesaing AS sebelum dijual ke pasaran global.
Tambah Ratcliffe, nilai harta intelektual bernilai AS$500 bilion telah dicuri setiap tahun. Biro Siasatan Persekutuan (FBI) turut kerap kali menahan sejumlah warga China yang mencuri bahan penyelidikan.
Ratcliffe juga mendakwa perkhidmatan perisikan China memperkenalkan teknologi rentan yang ditawarkan oleh firma teknologi terkemuka China seperti Huawei dan mendedahkan sekutu Beijing yang menggunakan teknologi berkenaan tidak akan berkongsi sebarang maklumat dengan perisikan AS.
Dakwa Ratcliffe lagi, siasatan perisikan AS juga mendapati China telah menjalankan ujian terhadap manusia bagi membangunkan angkatan tentera yang mempunyai kemampuan luar biasa.
Selain itu, beliau mendedahkan China telah terlibat dalam usaha melobi anggota Kongres AS dan kakitangannya dengan mendorong kesatuan pekerja di firma-firma besar agar kerajaan AS bersikap lembut terhadap China.
Jelas Ratcliffe, bukan sahaja China berbuat perkara sedemikian terhadap AS tetapi juga di negara-negara lain.