Harga emas didagangkan stabil, kekal berada di atas paras harga $1,900 per auns di tengah-tengah ketidakpastian mengenai pilihan raya AS dan kes Covid-19 yang melonjak di seluruh dunia, terutama Eropah dan Amerika Syarikat.
Pada pembukaan sesi pasaran Eropah, logam berharga itu didagangkan sedikit meningkat pada $1,909 per auns, manakala niaga hadapan emas pula pada $1,911 per auns (2.30 petang waktu Malaysia).
Lonjakan kes Covid-19 yang tinggi di Eropah, telah mendorong beberapa negara untuk mengambil tindakan bagi membendung penularan dengan mengumumkan lebih banyak sekatan baru.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron dijangka akan mengumumkan penutupan di seluruh negara selama satu bulan pada malam ini, yang mana ia pastinya mencetuskan kebimbangan terhadap prospek pemulihan ekonomi Eropah dan juga global.
Walaupun safe-haven emas mendapat manfaat daripada situasi ini, namun ketidakpastian yang membelenggu pasaran menjelang pilihan raya presiden AS telah membataskan pergerakan logam berharga itu untuk naik lebih tinggi.
Dalam pada itu, harapan terhadap pakej rangsangan fiskal AS semakin suram setelah Presiden Donald Trump mengakui bahawa persetujuan mengenai bantuan ini mungkin akan berlaku selepas pilihan raya presiden.