Peluang untuk pengaturan baru dalam perjanjian perdagangan pasca Brexit yang dipersetujui minggu lalu semakin cerah, setelah ia mendapat sokongan daripada negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pada hari Isnin.
Pada pertemuan duta besar di Brussels, 27 negara anggota memberikan sokongan mereka agar perjanjian itu diterapkan sementara pada akhir tahun ini. Keputusan itu akan diselesaikan secara rasmi dengan prosedur bertulis pada hari Selasa.
Jurucakap presiden EU, Sebastian Fischer mengesahkan bahawa perjanjian itu telah diberi lampu hijau dalam satu ciapannya di laman twitter semalam.
Satu-satunya halangan yang boleh menghalang kesepakatan itu dilaksanakan adalah undi oleh ahli Parlimen EU dan UK.
Ahli Parlimen Britain akan dipanggil untuk bersidang pada 30 Disember (Rabu) untuk membahaskan dan mengundi perjanjian tersebut.
Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon sebelum ini ada menyuarakan penolakan beliau terhadap perjanjian itu, dan industri perikanan UK turut memberi tindak balas dengan menuduh Perdana Menteri Boris Johnson hanya memperoleh sebahagian kecil daripada yang sepatutnya berhak dimiliki oleh Britain di bawah undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, Parlimen Eropah pula dijangka tidak akan mengundi sehingga bulan Januari memandangkan mereka mahu melakukan penilaian yang lebih ketat. Sebagai gantinya, perlaksanaan sementara yang diberikan oleh duta besar EU ini akan membenarkannya berkuatkuasa mulai 1 Januari.