Isu Brexit terus mencuri tumpuan pasaran pada perdagangan hari ini, memperlihatkan matawang pound sterling meneruskan peningkatan lebih tinggi pada sesi Eropah menjelang pengumuman keputusan rundingan perdagangan oleh UK dan Kesatuan Eropah (EU).
Pound sterling menguat di sekitar paras tertinggi 2 setengah tahun dengan kenaikan 0.6% berbanding US dolar susulan kenyataan Menteri Luar Ireland, Simon Coveney bahawa kesepakatan dijangkakan akan dicapai hari ini.
Matawang itu telah meningkat lebih 1% sejak UK dan EU dilaporkan kesepakatan antara London dan Brussels semakin hampir pada hari Rabu.
Sehingga ke detik ini (5.30 petang waktu Malaysia), perbincangan antara kedua-dua pihak dilaporkan masih berjalan. Coveney berkata, halangan terakhir yang berkaitan dengan isu penangkapan ikan telah menghalang persetujuan dari dicapai, tetapi pengumuman mengenai perjanjian dijangka akan dibuat hari ini.
Sementara itu dalam laporan berasingan, Joe Pike, wartawan Sky News menyampaikan satu khabar gembira yang telah memacu kenaikan pound sterling ke paras harga 1.36000.
Menurut Joe Pike dalam tweetnya, dua sumber kanan parlimen mengatakan bahawa Parlimen UK dijangka akan bertemu dan mempersetujui perjanjian Brexit pada 30 Disember.
Para pelabur kini semakin tidak sabar menantikan pengesahan rasmi mengenai kemungkin perjanjian perdagangan Brexit. Sebarang berita mengenai perkembangan Brexit sebelum pengumuman besar dibuat, dijangka akan terus mempengaruhi pergerakan matawang pound.