Harga emas jatuh pada hari Isnin ketika US dolar meraih pengukuhan setelah disokong oleh data pekerjaan NFP AS yang lebih baik daripada jangkaan dengan perkembangan mengenai hubungan AS-China terus menjadi perhatian pasaran.
Spot emas didagangkan berlegar di sekitar $2,032 per auns setelah dagangan logam berharga itu susut hampir 2%, membawanya ke paras harga $2,033 ketika ditutup pada hujung minggu lalu.
Permintaan US dolar sebagai safe-haven telah menjejaskan pengukuhan emas, lebih-lebih lagi dengan ketidakpastian mengenai rangsangan fiskal yang gagal mencapai kesepakatan antara Republikan dan Demokrat AS.
Walau bagaimanapun, kegagalan ini telah mendorong Presiden AS Donald Trump untuk menandatangani empat perintah eksekutif berhubung bantuan rangsangan Covid-19 pada minggu lalu.
Dalam pada itu, pertikaian antara dua kuasa terbesar dunia susulan sekatan ke atas syarikat berteknologi gergasi China mungkin akan terus memacu kenaikan bagi US dolar, sekali gus membataskan pergerakan emas untuk meningkat lagi.
Bagaimanapun, harus diingatkan bahawa peningkatan kes Covid-19 yang masih berterusan di seluruh dunia akan terus mengukuhkan permintaan terhadap emas.
Jumlah keseluruhan kes Covid-19 kini semakin menghampiri angka 20 juta, dengan kematian pula telah melebihi 730,000, menurut data yang dikeluarkan oleh Johns Hopkins University.