Kelemahan US dolar terus membuka ruang buat dagangan logam berharga untuk meningkat lebih tinggi ke paras ketinggian terbaru pada $2,040 per auns pada pembukaan sesi Eropah hari ini.
Aset berisiko seperti ekuiti telah meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini didorong oleh rangsangan besar-besaran oleh bank pusat dan kerajaan, namun, emas juga turut meraih manfaat daripada ketidakpastian yang ditimbulkan oleh krisis pandemik Covid-19.
Dolar greenback didagangkan lemah pada $92.87 berbanding matawang utama lain dengan penyusutan sebanyak 0.39% pada sesi Eropah.
Kongres AS masih bergelut untuk mencapai persetujuan dalam pakej rangsangan Covid-19 baru pada minggu, di mana terdapat sedikit perkhabaran positif yang menunjukkan potensi bahawa ia dapat diluluskan.
Sementara itu, dolar Aussie kembali didagangkan menguat setelah merosot pada pembukaan dagangan awal Ogos, disokong oleh kenyataan yang positif daripada Reserve Bank of Australia (RBA) bahawa negara itu akan memperoleh pemulihan yang lebih kuat.
Dagangan dolar kiwi pula terus mengekalkan momentum pengukuhannya setelah disokong oleh data pengangguran New Zealand yang menunjukkan penurunan, jauh melebihi jangkaan pasaran yang mengunjurkannya untuk meningkat.
Dalam pada itu, matawang pound sterling juga menokok, menghampiri paras ketinggian 5 bulan berbanding US dolar sementara fokus pasaran dialihkan kepada mesyuarat polisi Bank of England (BOE) pada malam esok.
Selain itu, kelemahan US dolar turut memberi manfaat kepada matawang euro untuk didagangkan lebih tinggi.