Federal Reserve AS (Fed) mengekalkan kadar faedah kepada julat sasaran 0 hingga 0.25% dan berjanji akan terus mengambil pendekatan yang lebih agresif sehingga ia yakin bahawa ekonomi semakin bertambah pulih.
Melalui satu kenyataan susulan dalam laporan FOMC, Fed mengatakan ekonomi AS telah melihat penurunan mendadak dalam aktiviti ekonomi yang melibatkan berjuta-juta warga Amerika telah hilang pekerjaan.
Bank pusat turut mengatakan bahawa permintaan yang lemah dan kejatuhan harga minyak global yang jauh lebih rendah adalah faktor utama kepada kemerosotan dalam aktiviti pengguna, di mana ia telah menjejaskan aliran kredit kepada isi rumah dan perniagaan AS.
Sementara itu, pembuat dasar mengakui bahawa krisis pandemik coronavirus yang melanda telah membebankan aktiviti ekonomi, pekerjaan, dan inflasi dalam tempoh terdekat, dan menimbulkan risiko yang besar terhadap prospek ekonomi dalam jangka masa sederhana.
Kadar faedah dikatakan akan dikekalkan pada tahap semasa sehingga ia yakin ekonomi kembali menuju ke arah pemulihan daripada terkesan oleh COVID-19 dan berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pekerjaan penuh dan inflasi.
Selain itu, bank pusat juga memberitahu akan terus komited dalam pelaksanaan pembelian bon kerajaan dan swasta mengikut jumlah yang diperlukan untuk menyokong kelancaran dalam pasaran kewangan.
Menurut Pengerusi Fed, Jerome Powell ketika berucap selepas mesyuarat tersebut, bank pusat tidak akan terburu-buru untuk menarik kembali langkah-langkah rangsangan untuk menyokong ekonomi atau meningkatkan kadar faedah.
Powell juga memberi amaran bahawa kadar pengangguran boleh meningkat sehingga mencecah angka dua digit dalam laporan berikutnya, sementara aktiviti ekonomi suku kedua pula akan jatuh pada kadar yang belum pernah terjadi sebelumnya.
Fed sebelum ini telah mengambil tindakan drastik dengan menurunkan kadar faedah menjadi sifar, dan pada Rabu ia dikatakan akan kekal di tahap semasa sehingga ekonomi kembali kepada pemulihan.
Bank pusat juga telah melaksanakan program pinjaman bernilai $2 trilion, dan berikutan itu, Powell menyatakan kesediaannya untuk melakukan lebih banyak tindakan jika diperlukan.