Euro meneruskan kenaikan lebih tinggi ke tahap tertinggi lebih dua tahun berbanding US dolar pada awal sesi Asia selepas menembusi paras harga 1.2000 berikutan kelemahan US dolar.
Keterangan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin di hadapan Jawatankuasa Senat Perbankan telah menjadi tumpuan utama pasaran ketika sesi sebelum ini yang menyaksikan beberapa perbincangan untuk meningkatkan langkah rangsangan Covid-19.
Cadangan terhadap pakej bantuan bernilai $900 bilion, yang disifatkan sebagai ‘usaha terbaik’ oleh Senator Demokrat, Mark Warner dan ia mungkin dapat dipersetujui oleh Demokrat dan Republikan, telah mendorong lonjakan dalam pasaran saham.
Hal ini telah mendorong kemerosotan dolar greenback yang sedia lemah, lebih jauh ke paras terendah 2 setengah tahun berbanding kebanyakan matawang utama.
Sementara itu, secara berasingan, Pemimpin Senat Majoriti, Mitch McConnell turut mencadangkan langkah rangsangan baru $1.4 trilion yang perlu diluluskan untuk menghentikan penutupan kerajaan di tengah-tengah penularan wabak.
Selain itu, turut menyokong pengukuhan euro adalah penerbitan data ekonomi yang lebih kuat daripada dijangkakan. Jerman mengejutkan pasaran dengan melaporkan penurunan jumlah pengangguran yang membantu mengurangkan kadar pengangguran. Data PMI pembuatan Zon Eropah yang disemak semula pula menunjukkan bacaan lebih baik.
Di samping itu, pasaran turut diperlihatkan dengan data PMI pembuatan tinjauan ISM Amerika Syarikat yang menunjukkan pertumbuhan lebih lemah daripada jangkaan sekali gus menimbulkan kebimbangan pelabur terhadap ekonomi negara itu.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama diperdagangkan rendah pada 91.22.