Presiden China, Xi Jinping memberitahu bahawa negara itu akan terus menurunkan tarifnya dan memperluaskan import barang dan perkhidmatan berkualiti tinggi selain turut berjanji akan mendorong reformasi serta mempromosikan model pertumbuhan yang dipacu oleh inovasi.
Xi memberitahu perkara tersebut dalam satu ucapan yang disampaikan melalui video pada Dialog CEO APEC hari ini menjelang sidang kemuncak para pemimpin negara Asia Pasifik mengenai kerjasama ekonomi antarabangsa pada Jumaat secara maya yang dianjurkan oleh Malaysia sebagai tuan rumah.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Xi Jinping menyusuli penandatanganan perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) oleh Beijing dan 14 negara Asia yang lain.
Menurut Xi Jinping, China akan terus mengurangkan tarif dan kos institusi serta meningkatkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi dari semua negara. Namun begitu, tiada perincian lebih lanjut diberikan susulan pernyataan beliau.
Beliau juga menolak cadangan bahawa negaranya mungkin memutuskan atau memisahkan diri daripada Amerika Syarikat dan rakan perdagangan yang lain walaupun berdepan ketegangan dengan Washington dan Eropah berhubung isu teknologi serta keselamatan.
Presiden itu turut menolak kemungkinan bahawa Beijing mungkin akan bertindak balas terhadap sekatan AS ke atas syarikat teknologinya, Huawei dengan berusaha memisahkan industri mereka daripada rakan dagang global.