Dagangan emas meraih keuntungan pada Selasa berikutan gelombang baru wabak coronavirus yang mencetuskan kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi global meningkatkan daya tarikan terhadap safe-haven emas.
Menurut data daripada Johns Hopkins University, jumlah kes coronavirus setakat ini telah mencecah lebih 43.5 juta di seluruh dunia dengan Amerika Syarikat dan Eropah menyaksikan peningkatan yang tinggi dalam kes harian.
Dengan meningkatnya kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia, emas muncul sebagai tarikan kepada pelabur buat masa ini, lapor Reuters yang memetik pandangan penganalisis dari OCBC Bank.
Bagaimanapun, logam berharga itu mungkin akan kekal didagangkan di sekitar paras harga $1,900 sehingga keputusan pilihan raya presiden diumumkan lebih-lebih lagi dengan ketidakpastian dalam rundingan pakej rangsangan AS, tambah beliau lagi.
Harapan untuk mencapai kesepakatan ke atas pelan rangsangan coronavirus semakin pudar dengan pemilihan presiden hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, dan Pemimpin Majoriti Senat, Mitch McConnell juga menggesa supaya ditangguhkan dari sebarang urusan perundangan.
Memasuki sesi Eropah, logam kuning itu didagangkan berlegar di sekitar $1,905 per auns setelah meraih peningkatan ketika sesi Asia. Sementara niaga hadapan emas pula positif pada $1,907 per auns (3.40 petang waktu Malaysia).